Tuesday, March 18, 2008

Meyakini ayat-ayat Tuhan i


Meyakini ayat-ayat TUHAN (i) ...
Pesan untuk pendakwah muda ...

Betul abang, memang ayatnya sebegitu ... tapi susah la ...”
...

“Terima Kasih atas ungkapan HIKMAH yang abg bagi ... sangat membantu”

... jawab saya;

“... tu ayat-ayat Allah dan kata-kata Rasul .... Bukan abang ... Segala puji itu Hanya bagi Allah” ...

Saya mula memahami bahawa ada kalangan duat yang mengingini Islam tanpa menyintai jiwanya. Jiwa Islam itu. Jiwa itu pastinya adalah Al Quran dan Hadith RasulNYA dan bagaimana ada, dikalangan para duat gagal berinteraksi dengan kalam Tuhan dan Rasul ini.

Habis bagaimana mungkin mereka mencintai tubuh itu tanpa mereka memahami jiwanya? Akhirnya mungkin, ia menjadi satu pernikahan yang terpaksa ...

Saya teringat bila saya berinteraksi dengan dua orang agamawan, seorang baru pulang dari Timur Tengah dan seorang berkelulusan doktrat; sepertimana sikap saya, seperti yang dikenali oleh adik-adik dan teman saya ... tiada lain yang saya anjurkan pada mereka selain berdakwah. Setelah beberapa lanjutan hujah sambil berbahas; kami tidak dapat lari untuk bersetuju bahawa Dakwah itu bukan semata kuliah-kuliah di Masjid atau mengajar Islam di Sekolah/Menara Gading namun perlu pada yang lebih dari itu. Tiba-tiba saya terkasima dengan dua jawapan dari mereka ...

“... anta hebat syeikh, ana tak dak mujahadah macam anta” ...

Dan

“Maafkan ana, kita punya awlawiyat masing-masing. Sekarang Awlawiyat ana bukan ke situ” ...

Saya terus terkasima, tidak tahu untuk bercakap apa, kalau diikut hati mau saja memberi salam, memohon mengundur diri dan berlalu. Namun kerana menghormati teman, perbicaraan diteruskan mebincangkan hal-hal dunia. Pada waktu saya berundur siri, saya berfikir-fikir di mana silap saya sehingga jawapan sebegitu, keluar dari lidah para mualim. Terlalu kasarkah saya pada orang yang lebih mengetahui daripada saya.

Adakah saya minta dipuji ... kerana kerja yang perbuat ini, bagi saya bukan hebat sekalipun, namun hanya menunaikan sebahagian kecil kewajipan, seperti yang telah tertulis oleh Allah dalam kitabNYA. Saya yakin saya belum berbuat lebih hebat dari itu. Saya juga tidak mempunyai kehebatan seperti mereka dengan memilki doktrat sepertimana mereka. Adakah ini soal kehebatan, kejahilan atau tidak meyakini ayat-ayat Tuhan?

Bila mana seorang mualim berkata; dia ada awlawiyat lain. Saya terhenti, menyemak kembali beberapa rujukan dan bertanya kembali pada seorang dua teman ... apa mungkin ada tanggungjawab lain yang secara relatif boleh mengangkat seseorang itu dari amanah ’mengajak kepada kebaikkan dan mencegah kemungkaran’. Apa yang saya ketahui, selain dari sekumpulan manusia yang bertanggungjawab menekuni ilmu secara mendalam Bertafaquh Fiddin atau ketikanya pada kasus-kasus darurat; amnya manusia tidak terangkat dari pertanggungjawabannya pada dakwah. Apatah lagi bila mana mereka mempunyai kudrat untuk melakukan sedemikian. Apakah mereka tidak memerhati ayat tuhan;

7. … Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang Yang Dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. [Al Thalaq]

Selain ayat ini memberi Rukhsah (keringanan) pada yang tidak mampu, ia juga sebagai satu penegasan bahawa kepada yang punya kudrat – amanah itu amat sekali harus dipikul.

Dunia, dunia… berapa harga yang telah kau tawarkan pada adik-adik ku ini ¿

Terkadang hati manusia di dalam sosok perkasa ini tidak tersisa dengan godaan lembut yang datang entah dari mana melahirkan beberapa keinginan – Bila agaknya aku punya masa untuk membina kecukupan dunia untuk diri aku ¿ Kereta cantik, rumah disiap mewah, aksesori diri dari beg duit, kredit kad, melancong ke sana sini, jam dan telefon tangan, yang bisa menggetar hati bila dipandang. Bukan untuk berlagak malaikat dan tidak mengakui kekadang saya juga melayani kehendak diri … paling tidaknya untuk tidur dan berehat lebih dari biasa atau menikmati makan yang sedap-sedap. Syukur Allah tidak memesongkan hati ini untuk menggilai kemewahan dunia yang lebih besar. Sekali kita sudah merasainya apa yang dinamakan kemewahan itu, kita tidak akan merasa puas dan terus ingin mengejarnya dan sentiasa merasa tidak cukup untuk menikmatinya. Itulah DUNIA.

Wahan ... pesan nabi. Pastinya itu sudah kita ketahui. Namun dalam beberapa waktu ingin saja kita simpan perasaan takut pada Wahan itu di dalam poket kita sedalam-dalamnya agar ia tidak “perasan” bahawa kita sedang menikmati kemewahan dunia. Hebat manusia; bukan sahaja orang kita boleh tipu; diri sendiri pun cuba kita tipu. Cukuplah dengan pelbagai alasan untuk mengejar Dunia demi dakwah. Dakwah ekonomi katanya. Jika perjanjian itu dilangsaikan, maka segala puji bagi Allah. Namun ironisnya, sehingga kini, begitulah ...

Dunia ini telah memakan sebegitu banyak jiwa-jiwa pejuang, tidak kurang mereka-mereka yang bergelar teman dan adik-adik saya. Tidak dapat dibuang rasa hairan ini; sedang kuingat bahawa mereka ini semuanya telah sama-sama dalam pelbagai usrah, tamrin dan halaqah menelahi ayat-ayat peringatan tentang Dunia yang bakal menewaskan kejaguhan seorang pejuang – ingatlah ketika itu kita membaca;

24. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka). [Al Taubah]

Penyakit itu terus menjangkiti adik-adikku.

“Tahu... tahu; tapi abang, ... susahlah ... saya nak terus disini, bukan tak nak, tapi ... Mak, pun selalu tanya, kerja apa, gaji berapa, kwsp ada ke tak? Mak kawan saya pun dok tanya “Bila lagi?” – saya nak jawab kat keluarga dia saya kerja apa pun, saya tak tahu”...

Begitulah saban tahun, saya menghadapi jawapan dan kekeliruan yang hampir sama. Persoalan ini, lebih istimewa dan unik kerana datang dari mereka-mereka yang telah mencuba untuk meletakkan diri mereka seluruhnya dalam jalan perjuangan. Sebahagiannya lulus; namun sebahagian yang tidak berjaya; mereka masih harus dipuji kerana punya kemahuan untuk mencuba. Apa tidaknya, sebahagian besar yang lain tidak langsung mahu mempertimbangkan untuk 24 jam kehidupannya diserahkan untuk perjuangan.

Namun tetap; kata-kata adik dan temanku ini mengusik hati saya. Seolah-olahnya ayat-ayat cinta dan mahar yang dijanjikan Tuhan itu tidak cukup untuk membeli kehidupan mereka seluruhnya untuk perjuangan. Andaikata pemergian itu tidak dapat dielakkan, berpisahlah adikku, tapi berpisahlah dengan hati mu basah dengan air mata, bahawa hari ini kamu gagal, dan esok kamu tidak akan gagal lagi untuk membeli dagangan Tuhan itu [Al Taubah; 111]

Seperti yang saya katakan tadi, kes di atas itu adalah unik. Tidak bisa dirasai oleh setiap manusia. Namun rasa ringan dan berat akan teruji untuk sesiapa sahaja samada pekerja pejabat, profesional, suri rumah, isteri berkerja, guru untuk menggalang gantikan masanya untuk perjuangan. Ayat-ayat Tuhan itu harusnya memberi kesan dan mengetuk hati kita untuk menangisi kepada ketidak mampuan kita, dalam berat dan ringannya untuk turun kelapangan perjuangan.

Perhatikanlah Al Quran – S Muhammad: 7 & Al Ankabut 69. Yakinlah; janji Tuhan itu sebenar-benarnya ada.

7. Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

69. dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.

Hanya Allah Maha Mengetahui ...

Monday, February 25, 2008

DAKWAH dan POLITIK ...


Politik, politik saya tak mau bang …”

“Saya dah jemu dengan politik bang ...”

“Itu kerja parti politik bang, politik kita umat ...”

Susah juga mengajak adik-adik aku turun ke PRU 12 kali ni. Kalau nak disalahkan mereka pun mungkin ”salah didikan” ini datang dari aku sendiri.

Menulis untuk menyedarkan mereka tentang masalah keterlibatan dalam politik ini juga sukar, kerana di kalangan ramai aktivis, hampir semuanya terjun dalam ruang politik di saat ini, kecuali sekumpulan dua manusia (seperti adik-adik aku ini). Jadi penulisan ini bakal menjadi tontonan sekumpulan kecil manusia sahaja dan antara pandangan yang paling tidak popular. Hatta Syeikh Saifulislam.com sudah menyerlahkan warna politiknya yang sebelum ini dipudarkan; maka benarlah pandangan ini bukanlah sesuatu yang popular dalam massa di saat ini.

Kita tidak menolak politik ...

Politik adalah masyarakat dan bagaimana masyarakat berinteraksi antara sesama sendiri bagi mewujudkan satu sistem untuk mengurus tadbir antara satu dengan yang lain. Itu bukan sayarh ibn khaldun dallam mukhadimah bukan juga ambilan dari The Prince; itu penjelasan mudah saya tentang politik. Mewujudkan urus tadbir ini memerlukan pemimpin, rakyat, dan sistem yang menguruskannya. Pada tahapan organisasi kita ada apa yang disebut sebagai politik organisasi, pada tahap kampung kita dengar tentang politik kampung, begitu juga kita dengar politik kampus dan yang terlalu kita biasa tentang politik negara. Kerana itu, nyatanya kita tidak boleh lari dari politik.

Politik Demokrasi moden telah mewujudkan satu sistem, walaupun mirip satu sistem yang ideal yang membawa suara rakyat untuk menjadi penentu kepada yang betul dan salah, namun politik demokrasi moden juga sudah terbudaya dengan beberapa atur cara yang tidak menjamin keadilan, kesejahteraan, kebenaran dan kebahagiaan dapat ditegak dalam satu negara.

Benar, suara rakyat menjadi penentu kepada politik, namun rakyat juga terdedah kepada manipulasi, penipuan, dan pendidikan yang salah. Sebegitu hasilnya, satu analogi mudah bagaimana sebegitu ramai manusia memilih untuk merokok, atau memilih untuk meminum arak walau pun kenyataannya kedua itu mampu memberi kesan negatif kepada penggunanya. Kerana itu dalam banyak ketika, suara politik ini tidak dapat membawa ketulenan prinsip perjuangannya – Bagi yang punya kuasa dan wang; ia dapat digunakan untuk men“didik” dan memanipulasi rakyat untuk membeli apa saja yang mereka tawarkan walau pun ia tidak semestinya benar. – Bagi yang tidak punya kuasa pula tidak terkurang terpaksa mengikut alun dan rentak rakyat sehingga terpaksa menyembunyikan apa gerakan itu ingini dan perjuangkan. Kerana itu ada parti yang berkuasa boleh menggunakan media kerajaan dari TV, Radio dan pengaruh korporat yang dimilikinya untuk mempengaruhi rakyat. Pada waktu yang sama, dipihak lain, ada yang terpaksa berkompromi dengan mereka yang menentang Islam, menyokong liberalisasi Islam, memperjuangkan sekularisma demi untuk mendapat tempat dalam politik.

Maka benarlah adik-adikku; ia satu hujah pertama bahawa Politik Demokrasi Kepartian bukan tempat kita berpencak ...

Berdakwah 5 tahun sekali ...

Namun saya kira, wahai adik-adikku, ia bukan juga satu hujah muktamad kenapa kita gagal memperuntukkan 200% usaha kita untuk PRU kali ini.

Saya teringat ketika saya bersama Cikgu Azmie, membantu seorang ketua pemuda sebuah parti untuk turun kelapangan menggerakkan jentera parti untuk menggerakkan usaha-usaha kemasyarakat setempat dan memperjuang nasib rakyat diluar kerangka 5 tahun sekali. Bergerak dari satu negeri ke satu negeri, hingga ke akhirnya selepas pelancaran program yang dihadiri 100 peserta, semuanya berakhir dengan program latihan untuk kami bercakap sesama kami, 5 orang jurulatih dan urusetia. Kami beralih ke sebuah parti politik lain dan keadaannya lebih teruk lagi.

“Takkan tak turun kot syeikh” ... tanya seorang aktivis parti 2 tahun lalu. AlhamduliLlah, soalan sebegitu sudah tidak sampai lagi ke telinga saya pada tika-tika PRU kali ini. Namun tidak kira 2 tahun yang lalu atau sekarang [selagi Allah tidak memesong hati ini]; maka soalan yang sepatutnya saya tanyakan semula adalah ... “Takkan hanya turun waktu nie jer syeikh”.

Faktor untuk gerakan politik seperti AKP di Turki, PKS di Indonesia dan Hammas di Palestin berjaya di ketika pilihanraya rakyat adalah apabila politik mereka melangkui daerah dakwah 5 tahun sekali. Lebih jauh dari itu, politik mereka bukan politik sloganan.

Kegagalan kita untuk memahami hati nurani dan keluh kesah rakyat menyebabkan ramai yang “berdakwah 5 tahun sekali ini” terperangkap hanya pada isu-isu bukan substansial / asasi seperti isu barang naik dan minyak naik. Kia gagal untuk mendidik rakyat memahami isu dan keperluan yang lebih mendalam. Rakyat dipelbagai pelosok kota dan desa menghadapi pelbagai masalah, kekusutan dan kekeliruan dan terus gagal mencari wira mereka. Sang Wira yang paracut turun 5 tahun sekali, walaupun mungkin masih mampu untuk menggegarkan ceramah-ceramah pilihanraya, namun masih gagal untuk mewakili umat.

Mungkin sahabat-sahabat saya dalam politik marah dengan pernyataan ini; ketika mana mereka sebenarnya masih terus menjadi “fronliner” dalam semua demonstrasi minyak naik, tol naik dan barang naik. Namun, saya gagal memahami apabila hampir tidak kelihatan penglibatan pahlawan-pahlawan politik contohnya dalam memperjuangkan isu penswastaan air, penswastaan kesihatan, FTA dengan US dan lain lain lain. Sekadar hadir tidak mencukupi sahabatku ...

Meninggalkan urusan kebaikkan dengan sebab ...

Kepada saudara-saudara saya yang bertungkus-lumus dalam medan dakwah dan islah PRU; dan tidak terkesan dengan kritik saya kali ini. Doa saya lebih-lebih lagi sentiasa bersama kalian. Hancurkanlah kezaliman, korupsi dan kikiskan kemaksiatan dan kebejatan yang semakin menanah di negara ini. Sahabatku yang mungkin terkesan, ya ... masa untuk kita sama-sama muhasabah.

Pada adik-adikku yang beralasan untuk tidak turun ke PRU. Pastikan, ketika ini kita sedang meneruskan tanggungjawab kita pada umat yang sama besarnya, atau mungkin jauh lebih penting dari tanggungjawab untuk turun dalam PRU ini. Juga, bukan masa untuk syok sendiri. Tidak selagi itu, maka pertanggung jawaban kita untuk terlibat dalam PRU ini, tidak akan terangkat ...
Abu Saif Al Mahshari
26Februari 2008
Hari 3; kempen PRU 12

Tuesday, February 19, 2008

Pesanku pada teman dakwah ...

Andai kata mereka mengerti …
Pesanku pada yang bergelar teman dakwah

I
Andai mereka mengerti,
Indahnya Dunia berbanding perjuangan,
Hanyalah sementara,
Empoknya tilam baldu itu,
Gahnya rumah besar itu,
Ampohnya Waja dan Benz itu,
Manisnya Puan Suri
… dan Gagahnya Abang Budiman,
Indahnya gelar tuan, dato’ dan profesor,
Kecil berbanding imbalan Tuhan.


II
Andaikata mereka mahu sedar,
Derita umat tiada pahlawannya,
Selain pidato di kedai kopi, parlimen,
… kursus motivasi, mahupun kuliah pengajian,
Yang berakhir dengan bicara, demi bicara,
Yang jauh dari mengangkat kecewa,
… merubat luka, atau membenteras gejala,
Kalau tidak kita, siapa lagi ?
Kalau tidak sekarang, bila lagi ?
Kalau tidak di sini, di mana lagi ?


III
Andai mereka mahu benar-benar percaya,
Bahawa jalan kita ini benar-benar panjang,
Bukan sekadar, mengangkat tangan, mendaftar diri
… mahupun memegang jawatan,
Tidak cukup juga menyinsing tangan, memerah keringat,
… berpanas, berembun, berselut, berpergian,
Pengorbanan, keletihan, kecewa dan marah,
… hanya pemula perjalanan,

IV
Andaikata mereka mahu bersaksi,
Bahawa kita ini perlu benar-benar bersedia,
Pelbagai maksiat dengan pelbagai nama,
WTO ke IFC, Miskin Bandar ke HIV, Derita Minyak ke OKU,
IPRs ke Leberalisasi, Takbai ke Rumah Putih,
Menanggung amanah bernama ummah,
Lisan, Ilmu, Rohani, Kerja dan Idealismanya,
Bahawa kita perlu benar-benar bersama,
Bahawa kita perlu benar-benar bersama,
Bahawa kita perlu benar-benar bersama,
Bukan hanya ratapan di bibir,
Fizika, hati, akal dan amalnya,
Bahawa kita perlu menesuri jalan ini,
dengan Istiqomah dan sabar,
Membina batu-batan ummah satu persatu dengan tekun,
… Penuh seni dan rencana,


IV
Andainya mereka mahu sabar,
Untuk istiqomah buat seketika lagi,
Mahupun peritnya jalan ini,
ada kuntuman mewangi di hujungnya,

O
Andaikata mereka bisa memahami,
Yang kupinta bukan untuk diriku,…
Namun untuk satu kebersamaan,
Mengangkat Derita Ummat,



Hanya andaikata mereka mampu mengerti
dan terus bersama ….


Bertam, 24 April 2006
25 Rabiul Awwal 1427
zamashari@gmail.com