“Politik, politik saya tak mau bang …”
“Saya dah jemu dengan politik bang ...”
“Itu kerja parti politik bang, politik kita umat ...”
Susah juga mengajak adik-adik aku turun ke PRU 12 kali ni. Kalau nak disalahkan mereka pun mungkin ”salah didikan” ini datang dari aku sendiri.
Menulis untuk menyedarkan mereka tentang masalah keterlibatan dalam politik ini juga sukar, kerana di kalangan ramai aktivis, hampir semuanya terjun dalam ruang politik di saat ini, kecuali sekumpulan dua manusia (seperti adik-adik aku ini). Jadi penulisan ini bakal menjadi tontonan sekumpulan kecil manusia sahaja dan antara pandangan yang paling tidak popular. Hatta Syeikh Saifulislam.com sudah menyerlahkan warna politiknya yang sebelum ini dipudarkan; maka benarlah pandangan ini bukanlah sesuatu yang popular dalam massa di saat ini.
Kita tidak menolak politik ...
Politik adalah masyarakat dan bagaimana masyarakat berinteraksi antara sesama sendiri bagi mewujudkan satu sistem untuk mengurus tadbir antara satu dengan yang lain. Itu bukan sayarh ibn khaldun dallam mukhadimah bukan juga ambilan dari The Prince; itu penjelasan mudah saya tentang politik. Mewujudkan urus tadbir ini memerlukan pemimpin, rakyat, dan sistem yang menguruskannya. Pada tahapan organisasi kita ada apa yang disebut sebagai politik organisasi, pada tahap kampung kita dengar tentang politik kampung, begitu juga kita dengar politik kampus dan yang terlalu kita biasa tentang politik negara. Kerana itu, nyatanya kita tidak boleh lari dari politik.
Politik Demokrasi moden telah mewujudkan satu sistem, walaupun mirip satu sistem yang ideal yang membawa suara rakyat untuk menjadi penentu kepada yang betul dan salah, namun politik demokrasi moden juga sudah terbudaya dengan beberapa atur cara yang tidak menjamin keadilan, kesejahteraan, kebenaran dan kebahagiaan dapat ditegak dalam satu negara.
Benar, suara rakyat menjadi penentu kepada politik, namun rakyat juga terdedah kepada manipulasi, penipuan, dan pendidikan yang salah. Sebegitu hasilnya, satu analogi mudah bagaimana sebegitu ramai manusia memilih untuk merokok, atau memilih untuk meminum arak walau pun kenyataannya kedua itu mampu memberi kesan negatif kepada penggunanya. Kerana itu dalam banyak ketika, suara politik ini tidak dapat membawa ketulenan prinsip perjuangannya – Bagi yang punya kuasa dan wang; ia dapat digunakan untuk men“didik” dan memanipulasi rakyat untuk membeli apa saja yang mereka tawarkan walau pun ia tidak semestinya benar. – Bagi yang tidak punya kuasa pula tidak terkurang terpaksa mengikut alun dan rentak rakyat sehingga terpaksa menyembunyikan apa gerakan itu ingini dan perjuangkan. Kerana itu ada parti yang berkuasa boleh menggunakan media kerajaan dari TV, Radio dan pengaruh korporat yang dimilikinya untuk mempengaruhi rakyat. Pada waktu yang sama, dipihak lain, ada yang terpaksa berkompromi dengan mereka yang menentang Islam, menyokong liberalisasi Islam, memperjuangkan sekularisma demi untuk mendapat tempat dalam politik.
Maka benarlah adik-adikku; ia satu hujah pertama bahawa Politik Demokrasi Kepartian bukan tempat kita berpencak ...
Berdakwah 5 tahun sekali ...
Namun saya kira, wahai adik-adikku, ia bukan juga satu hujah muktamad kenapa kita gagal memperuntukkan 200% usaha kita untuk PRU kali ini.
Saya teringat ketika saya bersama Cikgu Azmie, membantu seorang ketua pemuda sebuah parti untuk turun kelapangan menggerakkan jentera parti untuk menggerakkan usaha-usaha kemasyarakat setempat dan memperjuang nasib rakyat diluar kerangka 5 tahun sekali. Bergerak dari satu negeri ke satu negeri, hingga ke akhirnya selepas pelancaran program yang dihadiri 100 peserta, semuanya berakhir dengan program latihan untuk kami bercakap sesama kami, 5 orang jurulatih dan urusetia. Kami beralih ke sebuah parti politik lain dan keadaannya lebih teruk lagi.
“Takkan tak turun kot syeikh” ... tanya seorang aktivis parti 2 tahun lalu. AlhamduliLlah, soalan sebegitu sudah tidak sampai lagi ke telinga saya pada tika-tika PRU kali ini. Namun tidak kira 2 tahun yang lalu atau sekarang [selagi Allah tidak memesong hati ini]; maka soalan yang sepatutnya saya tanyakan semula adalah ... “Takkan hanya turun waktu nie jer syeikh”.
Faktor untuk gerakan politik seperti AKP di Turki, PKS di Indonesia dan Hammas di Palestin berjaya di ketika pilihanraya rakyat adalah apabila politik mereka melangkui daerah dakwah 5 tahun sekali. Lebih jauh dari itu, politik mereka bukan politik sloganan.
Kegagalan kita untuk memahami hati nurani dan keluh kesah rakyat menyebabkan ramai yang “berdakwah 5 tahun sekali ini” terperangkap hanya pada isu-isu bukan substansial / asasi seperti isu barang naik dan minyak naik. Kia gagal untuk mendidik rakyat memahami isu dan keperluan yang lebih mendalam. Rakyat dipelbagai pelosok kota dan desa menghadapi pelbagai masalah, kekusutan dan kekeliruan dan terus gagal mencari wira mereka. Sang Wira yang paracut turun 5 tahun sekali, walaupun mungkin masih mampu untuk menggegarkan ceramah-ceramah pilihanraya, namun masih gagal untuk mewakili umat.
Mungkin sahabat-sahabat saya dalam politik marah dengan pernyataan ini; ketika mana mereka sebenarnya masih terus menjadi “fronliner” dalam semua demonstrasi minyak naik, tol naik dan barang naik. Namun, saya gagal memahami apabila hampir tidak kelihatan penglibatan pahlawan-pahlawan politik contohnya dalam memperjuangkan isu penswastaan air, penswastaan kesihatan, FTA dengan US dan lain lain lain. Sekadar hadir tidak mencukupi sahabatku ...
Meninggalkan urusan kebaikkan dengan sebab ...
Kepada saudara-saudara saya yang bertungkus-lumus dalam medan dakwah dan islah PRU; dan tidak terkesan dengan kritik saya kali ini. Doa saya lebih-lebih lagi sentiasa bersama kalian. Hancurkanlah kezaliman, korupsi dan kikiskan kemaksiatan dan kebejatan yang semakin menanah di negara ini. Sahabatku yang mungkin terkesan, ya ... masa untuk kita sama-sama muhasabah.
Pada adik-adikku yang beralasan untuk tidak turun ke PRU. Pastikan, ketika ini kita sedang meneruskan tanggungjawab kita pada umat yang sama besarnya, atau mungkin jauh lebih penting dari tanggungjawab untuk turun dalam PRU ini. Juga, bukan masa untuk syok sendiri. Tidak selagi itu, maka pertanggung jawaban kita untuk terlibat dalam PRU ini, tidak akan terangkat ...
Abu Saif Al Mahshari
26Februari 2008
Hari 3; kempen PRU 12