“Politik, politik saya tak mau bang …”
“Saya dah jemu dengan politik bang ...”
“Itu kerja parti politik bang, politik kita umat ...”
Susah juga mengajak adik-adik aku turun ke PRU 12 kali ni. Kalau nak disalahkan mereka pun mungkin ”salah didikan” ini datang dari aku sendiri.
Menulis untuk menyedarkan mereka tentang masalah keterlibatan dalam politik ini juga sukar, kerana di kalangan ramai aktivis, hampir semuanya terjun dalam ruang politik di saat ini, kecuali sekumpulan dua manusia (seperti adik-adik aku ini). Jadi penulisan ini bakal menjadi tontonan sekumpulan kecil manusia sahaja dan antara pandangan yang paling tidak popular. Hatta Syeikh Saifulislam.com sudah menyerlahkan warna politiknya yang sebelum ini dipudarkan; maka benarlah pandangan ini bukanlah sesuatu yang popular dalam massa di saat ini.
Kita tidak menolak politik ...
Politik adalah masyarakat dan bagaimana masyarakat berinteraksi antara sesama sendiri bagi mewujudkan satu sistem untuk mengurus tadbir antara satu dengan yang lain. Itu bukan sayarh ibn khaldun dallam mukhadimah bukan juga ambilan dari The Prince; itu penjelasan mudah saya tentang politik. Mewujudkan urus tadbir ini memerlukan pemimpin, rakyat, dan sistem yang menguruskannya. Pada tahapan organisasi kita ada apa yang disebut sebagai politik organisasi, pada tahap kampung kita dengar tentang politik kampung, begitu juga kita dengar politik kampus dan yang terlalu kita biasa tentang politik negara. Kerana itu, nyatanya kita tidak boleh lari dari politik.
Politik Demokrasi moden telah mewujudkan satu sistem, walaupun mirip satu sistem yang ideal yang membawa suara rakyat untuk menjadi penentu kepada yang betul dan salah, namun politik demokrasi moden juga sudah terbudaya dengan beberapa atur cara yang tidak menjamin keadilan, kesejahteraan, kebenaran dan kebahagiaan dapat ditegak dalam satu negara.
Benar, suara rakyat menjadi penentu kepada politik, namun rakyat juga terdedah kepada manipulasi, penipuan, dan pendidikan yang salah. Sebegitu hasilnya, satu analogi mudah bagaimana sebegitu ramai manusia memilih untuk merokok, atau memilih untuk meminum arak walau pun kenyataannya kedua itu mampu memberi kesan negatif kepada penggunanya. Kerana itu dalam banyak ketika, suara politik ini tidak dapat membawa ketulenan prinsip perjuangannya – Bagi yang punya kuasa dan wang; ia dapat digunakan untuk men“didik” dan memanipulasi rakyat untuk membeli apa saja yang mereka tawarkan walau pun ia tidak semestinya benar. – Bagi yang tidak punya kuasa pula tidak terkurang terpaksa mengikut alun dan rentak rakyat sehingga terpaksa menyembunyikan apa gerakan itu ingini dan perjuangkan. Kerana itu ada parti yang berkuasa boleh menggunakan media kerajaan dari TV, Radio dan pengaruh korporat yang dimilikinya untuk mempengaruhi rakyat. Pada waktu yang sama, dipihak lain, ada yang terpaksa berkompromi dengan mereka yang menentang Islam, menyokong liberalisasi Islam, memperjuangkan sekularisma demi untuk mendapat tempat dalam politik.
Maka benarlah adik-adikku; ia satu hujah pertama bahawa Politik Demokrasi Kepartian bukan tempat kita berpencak ...
Berdakwah 5 tahun sekali ...
Namun saya kira, wahai adik-adikku, ia bukan juga satu hujah muktamad kenapa kita gagal memperuntukkan 200% usaha kita untuk PRU kali ini.
Saya teringat ketika saya bersama Cikgu Azmie, membantu seorang ketua pemuda sebuah parti untuk turun kelapangan menggerakkan jentera parti untuk menggerakkan usaha-usaha kemasyarakat setempat dan memperjuang nasib rakyat diluar kerangka 5 tahun sekali. Bergerak dari satu negeri ke satu negeri, hingga ke akhirnya selepas pelancaran program yang dihadiri 100 peserta, semuanya berakhir dengan program latihan untuk kami bercakap sesama kami, 5 orang jurulatih dan urusetia. Kami beralih ke sebuah parti politik lain dan keadaannya lebih teruk lagi.
“Takkan tak turun kot syeikh” ... tanya seorang aktivis parti 2 tahun lalu. AlhamduliLlah, soalan sebegitu sudah tidak sampai lagi ke telinga saya pada tika-tika PRU kali ini. Namun tidak kira 2 tahun yang lalu atau sekarang [selagi Allah tidak memesong hati ini]; maka soalan yang sepatutnya saya tanyakan semula adalah ... “Takkan hanya turun waktu nie jer syeikh”.
Faktor untuk gerakan politik seperti AKP di Turki, PKS di Indonesia dan Hammas di Palestin berjaya di ketika pilihanraya rakyat adalah apabila politik mereka melangkui daerah dakwah 5 tahun sekali. Lebih jauh dari itu, politik mereka bukan politik sloganan.
Kegagalan kita untuk memahami hati nurani dan keluh kesah rakyat menyebabkan ramai yang “berdakwah 5 tahun sekali ini” terperangkap hanya pada isu-isu bukan substansial / asasi seperti isu barang naik dan minyak naik. Kia gagal untuk mendidik rakyat memahami isu dan keperluan yang lebih mendalam. Rakyat dipelbagai pelosok kota dan desa menghadapi pelbagai masalah, kekusutan dan kekeliruan dan terus gagal mencari wira mereka. Sang Wira yang paracut turun 5 tahun sekali, walaupun mungkin masih mampu untuk menggegarkan ceramah-ceramah pilihanraya, namun masih gagal untuk mewakili umat.
Mungkin sahabat-sahabat saya dalam politik marah dengan pernyataan ini; ketika mana mereka sebenarnya masih terus menjadi “fronliner” dalam semua demonstrasi minyak naik, tol naik dan barang naik. Namun, saya gagal memahami apabila hampir tidak kelihatan penglibatan pahlawan-pahlawan politik contohnya dalam memperjuangkan isu penswastaan air, penswastaan kesihatan, FTA dengan US dan lain lain lain. Sekadar hadir tidak mencukupi sahabatku ...
Meninggalkan urusan kebaikkan dengan sebab ...
Kepada saudara-saudara saya yang bertungkus-lumus dalam medan dakwah dan islah PRU; dan tidak terkesan dengan kritik saya kali ini. Doa saya lebih-lebih lagi sentiasa bersama kalian. Hancurkanlah kezaliman, korupsi dan kikiskan kemaksiatan dan kebejatan yang semakin menanah di negara ini. Sahabatku yang mungkin terkesan, ya ... masa untuk kita sama-sama muhasabah.
Pada adik-adikku yang beralasan untuk tidak turun ke PRU. Pastikan, ketika ini kita sedang meneruskan tanggungjawab kita pada umat yang sama besarnya, atau mungkin jauh lebih penting dari tanggungjawab untuk turun dalam PRU ini. Juga, bukan masa untuk syok sendiri. Tidak selagi itu, maka pertanggung jawaban kita untuk terlibat dalam PRU ini, tidak akan terangkat ...
Abu Saif Al Mahshari
26Februari 2008
Hari 3; kempen PRU 12
3 comments:
Berjuang secara holistik ada bnayak platform..saya optimis dengan semua cabang...berjuang dalam jamaah yang didaftar sebagai parti politik tidak sama denga jamaah tanpa daftar atau sebagai NGO. Malaysia masih bersosiologi klasik dalam penerimaaan konotasi politik dan bezanya dengan siasah syariyyah. bukan semua wajib berpolitik dengan berkempen , tetapi semua wajib berbaiah melalui undi yang dibuang...inilah konsep syura muasiroh seperti yang jumhur ulama' sepakati...
antara sebab jamaah atau parti politik yang memeprjuang isu rakyat tetapi seolah tidak muncul dan nampak hanya 5 tahun sekali ialah kekangan undang2 dan tanggapan masyarakat Malaysia terhadap usaha politik yang selain pemerintah. Negara lain ada kebebasan berkerja dan dogmatik bahawa hanya satu parti (seolah monarki) tidak wujud secara ketara. hal ini menyebabkan parti Hamas, AKP dan lain2 boleh berjuang isu rakyat sepanjang tahun...realiti ini tidak difahami jika menilai dari luaran semata-mata
Salam;
Jangan terkeliru dengan artikel di atas, harap baca dengan perlahan-lahan dan cuba fahami;
Pertama saya tidak menolak dakwah dalam politik.
Kedua saya tidak bersetuju kekangan undang-undang dan tanggapan masyarakat (?) menghalang menggerakkan dakwah dan islah di luar kerangka 5 tahun sekali. Banyak bukti yang ia boleh dan mampu dilakukan namun ia memerlukan kemahuan, fokus dan ketegaran. Selain isu 5 tahun sekali kegagalan atau kelompongan gerakan2 dakwah dalam memahami, terlibat dan memahamkan masyarakat dalam memperdalami isu-isu yang lebih substansial harus diperbaikki. Suasana sosial politikal Hamas adalah lebih kritikal dari kita tapi hairan bagaimana mereka boleh menjadi pemerintah berkebajikan di kalangan rakyat sebelum mereka menang dalam pilihanraya. Begitu juga senario sosio politik yang unik untuk AKP dan PKS namun pengajaran harus diperolehi bagaimana mereka mampu menjadi khalifah sebelum menjadi pemerintah.
Ketiga; artikel ini bukan untuk tatapan umum, namun tatapan dalaman kepada adik2 dan sahabat2 saya. Jadi Din - ia tidak perlu dibincangkan dalam kerangka mereka yang sememang-memang terlibat aktif dalam politik kecuali sedikit.
Keempat ... saya tidak menilai dari luar namun dari dalam dan pernah hampir ke dalam kerana itu ...
Isu-isu lain seperti (1) beza antara jemaah, parti politik dan ngo (2) kaedah syura dalam Islam refleksi pemilihan lima khalifah utama Islam boleh kita bincangkan dalam forum lain ...
Post a Comment